
Tarikh: 27 Mac 2025 (Khamis)
Masa: 12pm
Tempat: Dewan Bunga Raya, Majlis Perbandaran Kota Bharu
Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, atas komitmen dan keprihatinan beliau dalam memastikan rakyat di seluruh negara, termasuk di peringkat akar umbi, menikmati prasarana yang bersih, selamat dan bermaruah.
Inilah yang dimaksudkan oleh YAB Perdana Menteri sebagai semangat federalisme yang tulen, di mana kerajaan pusat dan kerajaan tempatan saling berganding bahu, tanpa mengira latar politik atau sempadan pentadbiran – demi rakyat.
Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ybrs Tuan Pengarah Pembangunan Negeri Kelantan, Tuan Haji Jasri Bin Kasim bersama pasukannya atas komitmen dalam memastikan kelancaran dan kejayaan projek baik pulih Pasar Siti Khadijah ini.
Juga, saya mengambil kesempatan ini menzahirkan terima kasih yang mendalam kepada pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) yang sentiasa berkomitmen dan bersedia menerima amanah penjagaan kemudahan ini.
Kerjasama yang erat antara Kementerian dan PBT seperti MPKB sangat penting agar setiap kemudahan yang telah dibina dan dinaik taraf, dapat dijaga dengan baik, diselenggara secara berkala, dan kekal bersih sepanjang masa.
Pesan YAB Perdana Menteri – “Jaga Bersih, Jaga Maruah”
Seperti yang sering dipesan oleh YAB Perdana Menteri, kebersihan tandas awam adalah cerminan tamadun dan disiplin masyarakat kita.
Oleh itu, saya menyeru agar semua pihak – bukan sahaja MPKB, tetapi juga rakyat yang menggunakan kemudahan ini – sama-sama memelihara kebersihan, menggunakan dengan beradab, dan menghargai usaha kerajaan dalam menyediakan kemudahan yang baik ini.
Semoga penyerahan ini menjadi permulaan kepada lebih banyak inisiatif seumpamanya – dengan kerjasama erat antara pusat, negeri dan pihak berkuasa tempatan, sejajar dengan semangat Malaysia MADANI.
Kini diserah Tandas sejahtera,
Simbol usaha untuk rakyat jelata.
Bersih dijaga, maruah terpelihara,
Tanda negara kita bertamadun dan berwibawa.
Wabillahi taufiq.
© 2025 Dr. Hafidzah Mustakim. Hakcipta Terpelihara. Designed by TEMU