
Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim, tekad beri impak dari segi semak dan imbang Persidangan DUN Kelantan, demi kepentingan rakyat. Dr Hafidzah menyifatkan kemenangan dua kerusi gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) di Kelantan termasuk DUN Galas yang dimenangi Shahbudin Hashim dari BN sebagai tugas berat. Walaupun menjangkakan bakal berdepan dengan cabaran yang hebat, beliau yang juga Timbalan Ketua Wanita PH Kelantan yakin gabungan PH-BN, khususnya kepimpinan tertinggi dapat membantu wakil dari dua DUN itu dalam menjalankan tanggungjawab. Beliau berkata demikian kepada pemberita di pejabat badan perhubungan UMNO, di Kota Bharu. Dr Hafidzah berkata, kemenangannya kali ini adalah hasil gabungan PH dan BN yang menjadikannya lebih kuat, selain gerak kerja jentera yang bertungkus lumus memastikan kemenangannya. Keputusan PRN Kelantan menyaksikan Dr Hafidzah berjaya merampas kerusi DUN Kota Lama yang selama ini milik PAS dengan memperoleh 9,691 undi mengalahkan tiga lagi pencabar lain dengan majoriti tipis 202 undi.
© 2025 Dr. Hafidzah Mustakim. Hakcipta Terpelihara. Designed by TEMU