[WILAYAHKU] Dr Hafidzah tak gentar, kini ‘tungku berkaki tiga’

  • Metra Syahril
  • Dikemaskini 25 November 2024 – Diterbit 25 November 2024 2:56 PM MYT

SATU-SATUNYA calon Pakatan Harapan (PH) yang berjaya meletakkan wakilnya dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu, Yang Berhormat (YB) DR HAFIDZAH MUSTAKIM mahu menjadi contoh terbaik kepada rakyat.

Biarpun dikelilingi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti yang menguasai negeri itu, beliau bergandingan bersama ADUN Galas, Mohd Syahbuddin Hashim dan kini ADUN Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani daripada Barisan Nasional (BN) memainkan peranan semak dan imbang.

Menerima jolokan ‘the little tiny red dot’, Ketua Angkatan Wanita Amanah Negeri (AWAN) Kelantan itu yakin rakyat Kelantan mampu membuat perubahan, lebih-lebih lagi dengan kemenangannya di kerusi DUN Kota Lama.

Kepada wartawan Wilayahku, METRA SYAHRIL MOHAMED, beliau berkongsi harapan yang cukup tinggi mahu melihat Kelantan mampu mencapai kejayaan seiring dengan keberanian untuk berubah.

Dikelilingi ADUN-ADUN parti lawan, cuma ada YB dan ADUN Galas serta ADUN Nenggiri bertindak sebagai pembangkang di DUN Kelantan. Bagaimana kesepakatan YB bersama ADUN BN setakat ini?

Alhamdulillah dari hari pertama kemenangan bersejarah 12 Ogos 2023 kerjasama antara ADUN Perpaduan PHBN begitu baik. Walaupun pelbagai jolokan diterima seperti ‘the little tiny red dot’ atau ‘hanya dua ADUN pembangkang satu di hilir (Kota Lama-YB Dr Hafidzah-PH) dan satu di hulu (Galas-YB Syahbuddin-BN) laksana batu nisan’ namun semangat kerjasama untuk memainkan peranan semak dan imbang dapat kami lakukan dengan baik. Malah kami aktif di dalam dan di luar sidang DUN membawa isu-isu kepentingan rakyat yang dapat menghangatkan DUN Kelantan. Terbaru kemenangan YB Azmawi bagi kerusi DUN Nenggiri menambah kekuatan kami menjadi tiga kerusi ibarat tungku berkaki tiga yang kukuh dan tak dapat digoyahkan lagi.

Selaku wakil rakyat daripada Amanah, mungkin ada cara YB menyemarakkan sokongan rakyat Kelantan untuk berani menukar sokongan kepada parti-parti di dalam Kerajaan Perpaduan?

Saya dapati rakyat Kelantan bijak-bijak dan kuat semangat. Itu sebab mereka tidak mudah menukar sokongan politik. Namun apa yang berlaku di Nenggiri memberikan kita keyakinan, dengan maklumat yang benar dibuktikan dengan bakti khidmat YB Azmawi di lapangan terus ke akar umbi pengundi dapat mengembalikan sokongan rakyat kepada BN dan Kerajaan Perpaduan. Justeru saya akan menumpukan kerja menjadi wakil rakyat yang berkhidmat kepada semua rakyat DUN Kota Lama tanpa memilih bulu bagi menunjukkan wakil parti Kerajaan Perpaduan menjalankan tugas dengan penuh amanah dan dapat melakukan perubahan menyejahterakan kehidupan mereka.

Bagaimana YB melihat kualiti perbahasan dan isu-isu yang dibawa wakil rakyat parti pemerintah dalam sidang DUN? Memuaskan hati?

Peranan utama saya selain berkhidmat untuk rakyat adalah memainkan peranan semak dan imbang bagi pihak rakyat.

Biarpun kami minoriti bilangannya jauh berbanding parti kerajaan negeri Kelantan, hanya tiga berbanding 42, namun kami berupaya memberikan persembahan perbahasan mahupun membangkitkan soalan bagi pihak rakyat yang boleh menggentarkan pihak kerajaan. Kuncinya adalah kesepakatan antara kami dan persediaan rapi dibantu kumpulan penyelidik yang berdedikasi.

Seperkara yang mahu saya tekankan adalah pentingnya untuk rakyat Kelantan memilih pembangkang yang kuat dan DUN bagi pihak mereka bagi mengimbangi suara wakil kerajaan yang dipilih.

Kehadiran suara pembangkang yang kuat akan menjadikan sebuah kerajaan itu sentiasa waspada dan bersungguh-sungguh membuat dan melaksanakan polisi yang benar-benar menyejahterakan rakyat. Mana mungkin sebuah kerajaan itu kuat kalau nak bayar emolumen kakitangannya pun memerlukan bantuan pihak lain. Ini antara perkara yang perlu diketahui oleh rakyat.

DUN Kota Lama, selepas YB berjaya menempatkan logo PH di Kelantan, pastinya menjadi tumpuan rakyat melihat sejauh mana keberkesanan adanya PH di negeri ini. Apa pandangan YB?

Kemenangan PH sebagai mewakili parti Kerajaan Perpaduan di Kota Lama adalah kemenangan bersejarah. Ia berjaya memecahkan dominasi PAS di kerusi itu selama 24 tahun. Ini kemenangan bagi rakyat yang mahukan perubahan. Ada beberapa kunci kemenangan, antaranya kesatuan jentera parti komponen Kerajaan Perpaduan selain keterbukaan pemikiran pengundi yang bersedia berubah.

Sejurus selepas dipilih, saya terus melaksanakan tugas memberi khidmat kepada rakyat. Walaupun peruntukan diberikan kepada ADUN pembangkang hanyalah sebahagian daripada yang diberikan kepada ADUN kerajaan negeri, alhamdulillah kami dapat terus bergerak.

Gerak kerja kami mendapat perhatian parti lawan yang turut menggiatkan khidmat mereka. Akhirnya saya nampak rakyat DUN Kota Lama beruntung mendapat khidmat terbaik daripada semua pihak yang berlumba-lumba melakukan kebaikan. Sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembangunan Kelantan menjadi penguat semangat kepada saya. Khusus bagi DUN Kota Lama, peruntukan RM7 juta untuk pembaikan Pasar Besar Siti Khadijah adalah bukti Kelantan tidak dianaktirikan Kerajaan MADANI. Kelancaran projek ini membenarkan kenyataan kerajaan ini mengotakan apa yang dikata.

Apa isu-isu lama yang diwarisi YB di DUN Kota Lama?

Masalah dan cabaran yang dihadapi rakyat berterusan sifatnya. Terutama kita berada pada fasa pasca COVID-19 yang memberi kesan besar kepada sosioekonomi negara.

Saya mulakan tugas dengan kajian lapangan dikendalikan penyelidik muda bagi mengenal pasti keperluan penduduk Kota Lama. Kami dapati mereka memerlukan pembangunan dalam sosioekonomi, infrastruktur, pendidikan dan kesihatan.

Daripada dapatan ini saya dan pasukan membangunkan Pelan Transformasi Kota Lama (PTKL) sebagai satu panduan membangunkan Kota Lama secara strategik. Dengan berpandukan PTKL ini saya dapat menyusun gerak kerja lebih teratur sekali gus memberikan khidmat bersasar bertepatan apa yang diperlukan penduduk.

Mampukah parti-parti politik di bawah Kerajaan Perpaduan menawan Kelantan?

Tiada apa yang mustahil. Saya lihat rakyat Kelantan sudah semakin bersedia menerima perubahan. Tinggal lagi mereka perlu diyakinkan pakatan parti Kerajaan Perpaduan ini dapat menjadi alternatif lebih baik daripada kerajaan negeri yang sudah memerintah selama 34 tahun. Untuk ini PHBN bukan sahaja mesti berpadu tetapi mesti dilihat benar-benar berpadu dan menzahirkan kesatuan dalam bentuk tindakan.

Matlamat saya adalah melahirkan rakyat Kelantan terutama golongan atas pagar yang dapat berfikir secara terbuka. Ia berpandukan maklumat yang benar di hujung jari yang dapat memandu mereka membuat keputusan bijak. Ini memberikan mereka keberanian membuat pilihan berdasarkan bukti dan prestasi, bukan hanya berdasarkan sentimen.

Kuasa anak muda begitu besar di Kelantan. Dengan jumlah lebih 700,000 orang berusia bawah 40 tahun, mereka merupakan 53 peratus daripada pengundi dan sememangnya boleh menjadi kuasa penentu dalam pilihan raya. Mereka ibarat ‘the sleeping giant’ yang boleh menjadi kuasa pendesak kepada perubahan. Sebahagian besar orang muda ini dapat ditemui di alam maya. Maka pendekatan mesra anak muda melalui aktiviti sukan dan rekreasi selain interaksi di media sosial dan memanfaatkan teknologi secara tersusun mesti kami giatkan.

Untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, apakah mudah parti-parti politik Kerajaan Perpaduan membuat agihan kerusi di Kelantan? Apa cara terbaik?

Sentiasa ada cabaran dalam melakukan apa sahaja. Medan politik tidak terkecuali. Namun saya percaya jalan penyelesaian terbaik adalah melalui rundingan dan diplomasi. Alhamdulillah PH Kelantan telah mengorak langkah yang baik sebelum tibanya 2025. Jawatankuasa Pimpinan PH Peringkat Negeri dibentuk dan menunjukkan kesepakatan yang baik dari awal pembentukannya. Dengan sokongan padu pimpinan wanita dan pemuda PH Kelantan, kami yakin dapat mulakan kerjasama dengan BN merancang gerak kerja menghadapi PRU ke-16.

Bagaimana YB melihat sektor ekonomi di Kelantan?

Antara kayu ukur prestasi ekonomi adalah keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan sejauh mana ia menyumbang kepada KDNK negara. Walaupun KDNK Kelantan meningkat 2.6 peratus kepada RM26.7 bilion pada 2023, ia hanya mampu menyumbang 1.8 peratus kepada KDNK Malaysia. KDNK per kapita Kelantan juga paling rendah RM16,836 berbanding purata nasional RM54,612. Jika dilihat kadar pengangguran di Kelantan pula sebanyak 4.1 peratus berbanding kadar nasional 3.2 peratus.

Tidak hairanlah anak muda Kelantan terpaksa merantau ke luar negeri seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang untuk mencari rezeki. Nampaknya ekosistem di Kelantan masih belum dapat merangsang pertumbuhan ekonomi mahupun menarik pelabur luar untuk membantu pertumbuhannya.

Misi dan visi YB selepas ini dalam politik di Kelantan?

Visi saya menjadikan Kota Lama sebuah kota yang bahagia, berdaya saing dan diberkati. Kota Lama yang saya idamkan bercirikan kota yang maju, makmur, bersih, harmoni dan progresif.

Untuk mencapainya saya mempunyai misi meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat dalam aspek sosioekonomi, infrastruktur dan perkhidmatan. Saya akan menumpukan kepada teras strategik mewujudkan kitaran ekonomi yang mampan, kemudahan awam yang efektif, perkhidmatan pendidikan dan kesihatan berkualiti dan perkhidmatan saya sebagai ADUN yang inklusif untuk rakyat.

Sumber: https://www.wilayahku.com.my/dr-hafidzah-tak-gentar-kini-tungku-berkaki-tiga/

Kongsikan artikel ini:

Artikel Berkaitan

KUASAI MEDIA SOSIAL UNTUK BISNES IKS!

📣 PENIAGA IKS WAJIB TAHU! Nak tingkatkan jualan guna media sosial? Tapi tak tahu nak mula di mana? 🤔 Jom sertai Kursus Eksklusif: KUASAI MEDIA SOSIAL UNTUK BISNES IKS!📆 Tarikh:…
Baca Lagi
ADUN Kota Lama
Naib Ketua AWAN Nasional
Ketua Wanita Pakatan Harapan Kelantan
Ketua AWAN Negeri Kelantan

© 2025 Dr. Hafidzah Mustakim. Hakcipta Terpelihara. Designed by TEMU

Kongsikan:

Tempat Bersejarah & Rumah Ibadat

Istana Balai Besar

Istana Balai Besar terletak di Kota Bharu, Kelantan, dan dibina selepas Sultan Muhammad II memindahkan pusat pentadbiran Kelantan ke Kota Bharu pada 1844. Istana ini menjadi tempat bersemayam beberapa Sultan Kelantan, bermula dari Sultan Muhammad II hingga Sultan Muhammad IV. Ia juga menjadi lokasi bagi upacara rasmi dan adat istiadat diraja sejak 1845. Istana ini dibina oleh tukang mahir, dipimpin oleh Muhammad Salleh dari Terengganu. Sebagai istana dua tingkat, ia menjadi tempat pertabalan, kemahkotaan, dan acara penting lain. Meskipun tidak lagi menjadi kediaman Sultan, Istana Balai Besar masih digunakan untuk upacara rasmi, termasuk pertabalan Sultan Muhammad V pada 2010. Berhampiran istana terdapat Rumah Membuat Bunga Emas, yang digunakan untuk membuat bunga emas sebagai hadiah kepada Kerajaan Siam.

Istana Jahar

Istana Jahar yang terletak di pusat Kota Bharu, Kelantan, dibina pada tahun 1855 semasa pemerintahan Sultan Muhammad II. Pada asalnya, ia adalah kediaman rasmi kerabat diraja Kelantan dan memiliki seni bina tradisional Melayu yang indah, dengan ukiran kayu halus dan atap berbentuk limas. Kini, Istana Jahar berfungsi sebagai Muzium Kesenian Islam, mempamerkan koleksi seni, tekstil, perhiasan, dan artifak berkaitan dengan sejarah Islam di Kelantan. Istana ini menjadi salah satu tarikan pelancongan utama di Kota Bharu dan memberikan wawasan mendalam tentang warisan budaya dan sejarah Kelantan.

Padang Bank

Padang Merdeka di Kota Bharu, Kelantan, mula dikenali sejak 1844, ketika Istana Balai Besar dibina semasa pemerintahan Sultan Muhammad II. Pada awalnya, ia dikenali sebagai Padang Kelupang dan kemudian Padang Bank berikutan kewujudan The Mercantile Bank of India Limited pada 1912. Padang ini dinamakan Padang Merdeka selepas pengisytiharan kemerdekaan Kelantan pada 31 Ogos 1957. Padang Merdeka menyaksikan pelbagai peristiwa sejarah penting, termasuk pengisytiharan kemerdekaan dan pencerobohan mayat Tok Janggut pada 1915. Di sini juga terdapat tugu peringatan untuk warga British yang terkorban semasa Perang Dunia Pertama. Kini, padang ini digunakan untuk acara kebesaran negeri dan aktiviti riadah serta sukan oleh penduduk setempat.

KOTA SULTAN ISMAIL PETRA

Kota Sultan Ismail Petra terletak di pusat bandar Kota Bharu, berdekatan dengan Istana Balai Besar, Istana Jahar, dan Padang Merdeka. Dibina pada 1990, sempena pengisytiharan Kota Bharu sebagai Kota Budaya, ia menampilkan pintu gerbang gergasi dengan seni bina tradisional Melayu Kelantan dan 5 menara yang dihiasi replika al-Quran. Kawasan ini dahulunya menjadi tempat untuk perarakan, perhimpunan, dan hiburan rakyat seperti pertandingan laga lembu. Walaupun baru, Kota Sultan Ismail Petra menarik perhatian pelancong dengan rekabentuknya yang unik dan menjadi salah satu tarikan utama di Kelantan.

Bank Kerapu

Bank Kerapu terletak di pusat Kota Bharu, Kelantan, dan dibina pada tahun 1920-an semasa penjajahan British. Pada asalnya, ia adalah pejabat cawangan Bank of Malaya dengan seni bina kolonial yang elegan, menampilkan tiang besar dan dinding putih. Bangunan ini kini menjadi mercu tanda sejarah di Kota Bharu dan simbol perkembangan ekonomi semasa era penjajahan. Meskipun tidak lagi berfungsi sebagai bank, Bank Kerapu tetap menjadi destinasi penting bagi pelancong yang ingin mempelajari sejarah dan warisan kolonial di Kelantan.

Bangunan Bank Pitis

Bangunan Bank Pitis merupakan sebuah monumen yang dibina dan digunakan semasa pemerintahan Sultan Muhammad III pada tahun 1889 hingga 1890 sebagai tempat menyimpan "pitis" iaitu wang perbendaharaan Negeri Kelantan.
Selain itu, Bangunan Bank Pitis merupakan bangunan konkrik batu tertua yang terletak di luar pintu masuk ke Istana Balai Besar, Kota Bharu Kelantan. Bangunan ini berbentuk empat segi sama dengan berukuran 12 kaki lebar dan tingginya 12 kaki. Daun pintunya diperbuat daripada kayu cengal dan dipasang dengan tiga penyelak yang diperbuat daripada besi.

Masjid Muhammadi

Masjid Muhammadi adalah masjid bersejarah yang terletak di pusat Kota Bharu, Kelantan, dibina pada tahun 1867. Masjid ini terkenal dengan seni bina tradisional Melayu yang indah, termasuk kubah besar, tiang kayu kukuh, dan ukiran halus. Selain sebagai tempat ibadah, ia juga berfungsi sebagai pusat sosial dan budaya bagi masyarakat setempat. Masjid Muhammadi menjadi salah satu mercu tanda utama di Kelantan dan sering dikunjungi oleh pelancong yang ingin menikmati keindahan seni bina serta merasai suasana ketenangan. Ia merupakan simbol warisan agama Islam yang penting di negeri Kelantan.

Masjid Sultan Mansor (Masjid Kampung Sireh)

Masjid Kampung Sireh terletak berhampiran pusat bandar Kota Bharu, Kelantan, dan dibina pada awal abad ke-20 semasa pemerintahan Sultan Muhammad IV. Masjid ini terkenal dengan seni bina Melayu tradisional yang indah dan berfungsi sebagai pusat ibadah utama bagi penduduk setempat. Walaupun telah melalui beberapa pengubahsuaian, ia tetap mengekalkan ciri-ciri asalnya. Masjid ini juga menjadi tempat untuk aktiviti keagamaan dan sosial komuniti, menjadikannya salah satu mercu tanda penting di Kota Bharu.