❤️ SETITIS DARAH, SEJUTA HARAPAN ❤️
Alhamdulillah, saya berpeluang bersama-sama meraikan kemeriahan Program Kempen Derma Darah sempena Sambutan Hari Derma Darah Sedunia yang dianjurkan oleh Tokong Mek, Kampung China, Kota Bharu.
Program yang dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Transfusi Darah HRPZ II diketuai Ahmad Arif bin Che Ismail serta beberapa hospital dari pelbagai daerah ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang.
Sehingga tengah hari, lebih 350 penderma budiman telah tampil menghulurkan sumbangan darah mereka, manakala pihak penganjur mensasarkan pengumpulan 700 beg darah sepanjang program berlangsung. Ini merupakan satu pencapaian yang sangat membanggakan dan membuktikan bahawa semangat kesukarelawanan serta kasih sayang sesama insan masih subur dalam masyarakat kita.
Setiap beg darah yang didermakan berpotensi menyelamatkan beberapa nyawa dan memberi harapan baharu kepada pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan, mangsa kemalangan, pesakit kanser, thalassemia serta mereka yang menjalani pembedahan.
Di Kelantan, keperluan bekalan darah sentiasa berterusan bagi menampung keperluan hospital-hospital di seluruh negeri. Justeru, kempen seperti ini amat penting bagi memastikan stok darah sentiasa berada pada tahap yang mencukupi untuk kegunaan pesakit yang memerlukan.
Apa yang paling menyentuh hati ialah apabila ramai penderma yang ditemui menyatakan rasa teruja dan gembira kerana berpeluang menyumbang sesuatu yang amat bernilai kepada insan lain. Sesungguhnya, derma darah adalah antara bentuk sedekah yang sangat besar manfaatnya kepada masyarakat.
Setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada seluruh jawatankuasa penganjur, para sukarelawan, petugas kesihatan serta semua pihak yang menjayakan program yang cukup bermakna ini.
Tahniah kepada Mr Foo dan pasukan di Tokong Mek serta Dr. Najihah Mokhtar Pengarah Program serta para dermawan yang menyumbangkan ratusan cabutan bertuah atas penganjuran program ini.
Semoga usaha murni ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai rakyat untuk tampil sebagai penderma darah dan terus menyemarakkan budaya prihatin dalam masyarakat.
“Menderma darah bukan sekadar memberi, tetapi menyelamatkan nyawa.”








© 2025 Dr. Hafidzah Mustakim. Hakcipta Terpelihara. Designed by TEMU

































